Nasab
Sungguh saya sangat terkejut membaca berita hari ini. 17,303 anak luar nikah melayu/tidak sah taraf didaftarkan sepanjang tahun 2009. Seriously?! Wah, scary sungguh. Bagi saya begitu besar angka tersebut. Tidak perlu dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penduduk Malaysia. Sebagai orang Islam, jumlah sebegini sangat menakutkan, sangat menyedihkan dan sangat memalukan.
Bagaimana ni? Saya rungsing memikirkannya. Bagi saya isu ini tidak terhenti setakat kelahiran anak luar nikah sahaja. Ia melibatkan nasab keturunan. Apatah lagi bila anak-anak kecil ini ditinggalkan oleh ibu atau bapa yang tidak bertanggungjawab. Maka kebanyakkan mereka tidak mengenali bapa yang 'angkat kaki' apabila teman wanita hamil atau ibu yang meninggalkan anak di tepi surau. Bagaimana apabila masa berlalu dan anak-anak ini sudah besar kemudian melanjutkan pelajaran atau bekerja. Bagaimana jika mereka tidak mengenali adik beradik sebapa? Bagaimana jika mereka bercinta dengan adik beradik sendiri tanpa disedari akibat tidak pernah bertemu ibu kandung sendiri? Nauzubillah. Caca merba keturunan jadinya.
Islam menyarankan salah satu ciri-ciri memilih jodoh ialah dengan melihat keturunannya. Seorang rakan saya selalu berkata pada zaman akan datang mungkin kita perlu menjodohkan anak-anak kita dengan anak-anak rakan terdekat yang dikenali sahaja kerana kita kenal siapa ibu bapanya dan kita tahu bagaimana keturunannya. Peri pentingnya keturunan bukan kerana nama atau pangkat tetapi kerana darah dagingnya. Seboleh-bolehnya kita mahu memelihara keturunan agar zuriat yang lahir nanti bersih dan insyaAllah menjadi orang yang beriman dan bertakwa.
Pentingnya keturunan juga kerana ia berkait dengan kesihatan. Dengan mengetahui asal usul, sekurang-kurangnya kita dapat mengetahui sekiranya ada sebarang penyakit keturunan. Selain itu, saya pasti ramai sedia maklum kita tidak digalakkan berkahwin dengan saudara terdekat. Setakat ini saya pernah berjumpa dengan beberapa pesakit kanak-kanak yang mempunyai pelbagai penyakit dan sindrom yang apabila dilihat sejarah, ibu bapa mereka mempunyai ikatan persaudaraan.
Apa akan jadi pada generasi akan datang? Bagaimana hendak menyedarkan masyarakat Islam kita. Masalah zina ini bukan terhad pada golongan muda mudi sahaja, malah ada yang telah berpangkat datuk. Sudah tua tetapi masih lalai dengan godaan dunia. Masih ligat berlibur. Ada juga yang tidak tahu hukum hakam agama. Ingat lagi satu kes tahun lepas di Pahang di mana seorang bapa mertua berkahwin dengan menantunya sendiri setelah kematian anak lelaki beliau. Alasannya takut tidak manis dipandang orang bila dia selalu datang menziarahi cucu-cucu di rumah menantu. Ya Allah, kalau perkara asas sebegini pun tidak tahu, bagaimana?! Cucu-cucu pun keliru datuk telah menjadi 'bapa tiri'. Nasib baik ada jiran-jiran yang prihatin dan melaporkan kepada pihak berkuasa. Kalaulah ada anak yang lahir hasil hubungan itu?
Sesungguhnya begitu besar cabaran di zaman moden ini. Agama saja yang dapat menyelamatkan kita. Sekarang ini ramai juga golongan ibu bapa muda yang sedar akan pentingnya didikan agama. Ramai muslim yang berpendidikan dan berjaya dalam bidang profesional menekankan Islam dalam didikan mereka. Saya harap ada lebih ramai ibu bapa sebegini, yang dapat menjadi contoh tauladan yang baik kepada anak-anak mereka. Sesungguhnya saya takut memikirkan bagaimana zaman anak-anak kita nanti.
Ya Allah Ya Rahim, peliharalah keturunan kami.
No comments:
Post a Comment